Thursday, February 10, 2011

5 PERKARA ELOK DISEBUT-SEBUT

Dalam sesi muzakarah kali ini, saya hendak menarik perhatian tentang 5 perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk
memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini.
Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:

1. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

2. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.

3. Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat.
Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?

4. Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga. Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi).
Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

5. Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain.
Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

Demikian tazkirah minggu ini. Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama beroda semoga terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke akhirat.Amin.

Kewajiban untuk Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan buat Rasulullah

Allah telah berfirman kepada Rasulullah (s.a.w) untuk mengingatkan ummatnya yang mengakui mencintai Allah, untuk mencintai NabiNya dan katakanlah kepada mereka,"Jika kamu mencintai Allah, ikutlah (dan cintai dan hormati) aku, dan Allah akan mencintai kamu" (3:31) Sambutan Maulidurrasul (s.a.w) merupakan natijah atau kesan akan adanya perasaan kecintaan terhadap Rasulullah (s.a.w), perasaan taat kepada baginda, sentiasa mengingati baginda, mencontohi baginda dan berbangga dengan baginda sebagaimana Allah bangga terhadap baginda kerana Allah memuji akan baginda didalam Al-Quran, "Sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang mulia" (al-Qalam:4) Tahap kecintaan kepada Rasulullah (s.a.w), merupakan antara pengukur kepada tahap kesempurnaan keimanan antara seseorang mukmin dan seorang mukmin yang lain. Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah (s.a.w) telah bersabda,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya." Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Bukhari Rasulullah (s.a.w) berfirman,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku kamu lebih cintai daripada diri kamu sendiri." Dan Sayyidina 'Umar berkata,"Ya Rasulullah aku mencintaimu lebih daripada diriku sendiri. Kesempurnaan iman seseorang itu amat bergantung pada kecintaannya terhadap Rasulullah (s.a.w) dan para Malaikat sentiasa memuji baginda sebagaimana yang dimaksudkan didalam ayat al-Quran yang berbunyi, "Sesungguhnya Allah dan para Malaikat sentiasa bersalawat keatas Nabi" (33:56). Seterusnya ayat ini disambung dengan perintah Tuhan,"Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu keatasnya". Ayat ini sahaja menjadi bukti bahawa kualiti iman seseorang itu bergantung kepada dan dizahirkan melalui selawat kepada Nabi (s.a.w). Ya Allah! Limpahkanlah selawat serta salam kepada Nabi, ahli keluarga baginda dan para sahabat. ...bersambung

KELAHIRAN RASULULLAH S.A.W

Tarikh Kelahiran Dan Peristiwa

12 Rabiul Awal merupakan tarikh yang bersejarah yang mana saban tahun umat Islam seluruh dunia sama-sama menyambut hari kelahiran putera bertuah yang telah merubah peradaban dunia. Muhammad begitulah nama indah kepada putera Abdullah dan Aminah ini yang telah menunjukkan sifat keperibadian dan akhlak yang terpuji semenjak kecil lagi. Tujuan perayaan ini dilakukan bukanlah untuk memuja Rasulullah S.A.W tetapi sebaliknya bagi mengingati segala pengorbanan baginda dan yang lebih utama lagi untuk mencontohi akhlak serta segala sunnah yang ditinggalkan kepada kita. Menurut sejarah, Malikus Salleh yang merupakan seorang pendakwah yang terkenal pada masa itu telah memperkenalkan perayaan ini apabila beliau melihat umat Islam di kepulauan Melayu pada masa itu kurang mengamalkan sunnah serta mengabaikan akhlak-akhlak yang terpuji yang pernah ditonjolkan oleh Rasulullah S.A.W. Sesiapa yang menyambut kelahiran Rasul yang mulia ini tetapi hanya untuk bermegah-megah dan tidak mahu menurut segala apa yang yang dibawa oleh baginda S.A.W serta menolak hukum Pencipta mereka maka inilah yang dikatakan perayaan yang dibuat itu adalah bid'ah yang sesat yang menempah siksaan dan bala dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kita bukan mengadakan perayaan untuk mengingati baginda S.A.W sahaja tetapi mestilah diikuti dengan pelaksaan segala perintah dan sunnah Rasulullah S.A.W. Pelaksaan pula hendaklah meliputi semua aspek dan bukannya menurut kehendak hati sahaja seperti yang berkait dengan ibadat khusus, sunnah yang berbentuk amalan sunat dan meninggal apa yang sukar dan tidak bertepatan dengan nafsu kita seperti politik, ekonomi, perundangan, pemerintahan, batas-batas pergaulan harian dan pemakaian pakaian yang menutup aurat bukan sahaja disekolah, universiti, tempat kerja malah di mana sahaja termasuk di rumah apabila adanya mereka yang bukan muhrim ( halal berkahwin ) bersama.
Kelahiran Rasulullah S.A.W adalah pada tahun Gajah di mana tentera Abrahah yang berpusat di Yaman telah datang ke Mekah untuk meruntuhkan Ka'bah. Perancangan ini adalah bertujuan memastikan manusia pada masa itu tidak lagi tertumpu di Mekah setiap tahun dalam mengerjakan ibadat haji sebaliknya mengerjakannya di Yaman. Datu baginda iaitu Abdul Muttalib apabila melihat kemaraan tentera bergajah Abrahah meminta agar kesemua penduduk Mekah untuk bersembunyi bagi menyelamatkan diri masing-masing daripada tentera itu. Beliau menyatakan bahawa Ka'bah adalah milik Tuhan yang mana Dia tetap menjaganya daripada pencerobohan mereka yang zalim. Akhirnya Allah menghantar burung Ababil untuk menghancurkan tentera bergajah Abrahah. Tentera Allah yang kecil iaitu burung mampu mengalahkan tentera bergajah Abrahah dengan lontaran batu-batu kecil sahaja. Ini bermakna setiap sesuatu tidak mampu melawan kehendak Allah yang Maha Pencipta. Pejuang Islam mesti yakin dengan pertolongan Allah yang akan bersama mereka yang ikhlas dan bersungguh dalam memperjuangkan Islam sebagaimana keyakinan yang wujud dalam hati datuk Rasulullah s.a.w iaitu Abdul Muttalib yang begitu yakin bahawa Ka’bah tetap akan dijaga oleh Tuannya iaitu Allah ketika melihat kemaraan tentera Abrahah. Kita sebagai pendakwah mesti lebih yakin daripada beliau terhadap pertolongan Allah dalam mengembalikan ketuanan Islam.

Lahirnya Rasulullah s.a.w daripada bangsa arab berketurunan Quraisy selain daripada menempelak Yahudi dan Kristian yang mendakwa bahawa bani Israel merupakan anak dan kekasih Allah, ia juga memberi pengajaran kepada kita bersama bahawa lahirnya pendakwah daripada keturunan yang baik disertai pula dengan akhlak dan keperibadian yang soleh akan menjadi pemangkin yang begitu penting dalam penyebaran dakwah. Oleh itu kita perlu menitik beratkan mengenai keturunan kita dalam memastikan dakwah Islam yang kita bawa akan lebih tersebar. Ingatlah bahawa keluarga merupakan fitnah yang begitu besar kepada pendakwah di mana ramai dikalangan mad’u atau mereka yang didakwah akan melihat bagaimana keadaan keluarga pendakwah sebelum menerima dakwah yang dibawa. Memang tidak dinafikan bahawa bukannya hanya faktor keturunan yang akan membantu dalam berdakwah kerana ramai juga yang dilahirkan dalam keadaan keturunan yang tidak terkenal tetapi mampu dan berjaya untuk menjalankan kerja-kerja dakwah. Ada juga yang berketurunan baik tetapi dirinya sendiri terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar sehingga menjadi seorang yang tidak berguna malah penentang kepada Islam itu sendiri. Namun begitu persoalan mengenai keturunan yang mulia dibantu oleh sifat yang terpuji serta amal yang mulia merupakan gabungan yang ideal dalam memastikan kerja-kerja dakwah yang lebih berjaya. Oleh itu Allah melahirkan baginda s.a.w dalam keluarga yang berketurunan yang mulia dan dihormati pada masa itu bagi membantu baginda s.a.w ketika menyampaikan dakwah. Mereka yang masih kufur tidak boleh lagi berhujjah bahawa Islam tidak dapat diterima kerana ia dibawa oleh seorang yang berketurunan biasa kerana baginda s.a.w berketurunan baik dan terpilih.

Keadaan Jahiliah Dan Material

Lahirnya baginda di celah-celah kegemilangan kerajaan Rom, Parsi, India dan beberapa buah lagi kerajaan yang lain menunjukkan kepada kita bahawa kemajuan sesuatu tamadun itu bukannya terletak pada kemajuan material semata-mata tetapi mestilah selari dengan pembangunan insan. Kemajuan yang berasaskan maddiah dengan mengenepikan pembangunan ruhiah tidak mampu memberikan kebahagian yang berkekalan kepada sesuatu bangsa. Kita pernah membaca dan melihat sendiri kesan kegemilangan kerajaan-kerajaan tersebut seperti kerajaan Rom di Jordan yang begitu hebat dari segi seni binanya tetapi mereka tidak mampu berlaku adil pada rakyat mereka sehingga adanya undang-undang yang melahirkan lapisan masyarakat yang berbeza taraf serta perhambaan di kalangan mereka. Mereka lebih mementingkan kehebatan dari segi material dan meninggalkan kepentingan pembinaan insan kerana mereka berada jauh daripada petunjuk wahyu Ilahi. Sikap mereka ini menular kembali ke dalam pemerintahan di negara yang menggunakan ideologi ciptaan manusia dan meninggalkan hukum Allah Yang Maha Kuasa pada masa kini. Oleh itu tujuan sebenar kedatangan Rasulullah S.A.W adalah untuk memberi sinar iman setelah begitu lama manusia lemas dalam lautan jahiliah dan kekufuran serta mengubah daripada perhambaan sesama manusia kepada tunduk dan patuh kepada Allah yang Maha Kuasa. Namun begitu Islam bukanlah menafikan sebarang pembangunan material tetapi Islam mahu melihat bagaimana pembangunan material dan rohani mampu diselaraskan demi melihat kejayaan di dunia dan akhirat. Adakah masyarakat hari ini menjadikan Jepun atau negara barat sebagai model terbaik dalam pembinaan tamadun moden semata-mata pembangunan material yang tersergam indah atau pun kerana disiplin masa dan ketekunan mereka dalam bekerja dan mengkaji?. Kita dapat lihat sendiri apa yang berlaku dalam negara di mana berbilion wang dihabiskan untuk membina bangunan yang tinggi-tinggi demi mencipta nama di mata dunia walau pun semakin hari semakin tinggi jumlah hutang negara yang ditanggung sedangkan berapa banyakkah wang yang dihabiskan untuk pembinaan manusia. Sikap memandang remeh terhadap pembinaan insan ini menyebabkan ramai rakyat yang terlibat dengan amalan yang tidak sihat malah menggugat keamanan negara. Berapa bilion terpaksa dihabiskan untuk membina penjara, pusat serenti dan pelbagai lagi dalam membendung penagihan dadah, jenayah seks dan sebagainya. Pemimpin sendiri terlibat dengan masalah politik wang yang mampu menggadaikan keseluruhan hasil dan tanah negara dalam masa terdekat dan jaka panjang.
Kehidupan baginda s.a.w dalam suasana jahiliah yang dipenuhi oleh amalan penyembahan berhala mengingatkan kita bagaimana suasana itu tidak mampu menggoyah dan memberi kesan kepada keperibadian Rasulullah s.a.w yang sentiasa berada di bawah naungan tarbiah Ilahi. Suasana ini juga memberi pengajaran kepada kita bersama bagaimana Rasulullah s.a.w menjadi baik dan berakhlak mulia bukannya disebabkan suasana sekitar yang baik dan soleh sebaliknya kerana didikan Allah. Ini bagi menafikan dakwaan yang menyatakan bahawa baginda s.a.w menjadi soleh dan berakhlak mulia kerana terasuh dan terdidik oleh suasana sekitarnya yang baik. Kita sebagai pejuang Islam mestilah berusaha dalam membina keperibadian muslim sejati walau pun berada dalam suasana jahiliah moden yang mencengkam bagi menyahut maksud hadis di mana Rasulullah s.a.w menyifatkan keadaan muslim yang sejati sebagaimana ikan di laut yang mana ia tidak masin seperti air laut sebaliknya dagingnya tetap manis.

Yatim Piatu Dan Miskin

Semenjak kecil lagi Rasulullah telah diuji dimana seorang demi seorang mereka yang merupakan tempat baginda bergantung dan mengharapkan kasih sayang sebagaimana anak-anak kecil yang sebaya dengan baginda telah pergi menemui Al-Khaliq iaitu dengan dimulai dengan kematian ayahandanya Abdullah semasa baginda dalam kandungan ibundanya lagi. Kemudian diikuti dengan kematian ibundanya Aminah ketika mana baginda baru mula mengerti erti belaian kasih sayang seorang ibu. Selepas itu datuknya Abdul Muttalib pula pergi menemui Ilahi yang mana penjagaan baginda selepas itu diambil alih oleh bapa saudaranya Abu Thalib. Ujian ini telah mematangkan baginda dan menunjukkan kepada kita bahawa usaha dakwah kepada kebaikan memerlukan pengorbanan disamping di uji dengan mehnah atau cabaran. Ujian ini juga adalah untuk menjauhkan Rasulullah S.AW daripada tuduhan liar bahawa ilmu yang beliau sebarkan adalah hasil warisan dan pengajian yang baginda S.A.W perolehi daripada ibubapa dan datuk baginda S.A.W sebaliknya ia adalah wahyu Ilahi. Begitu juga untuk menghindar daripada tuduhan yang mengatakan segala kematangan dan perilaku yang mulia pada diri Rasulullah S.A.W adalah kerana hasil penjagaan dan didikan daripada ibubapa dan datuk baginda S.A.W. Kehidupan sebagai anak yatim piatu juga mengajar baginda yang bakal menjadi nabi lagi rasul untuk berdikari dan juga melahirkan dalam diri baginda s.a.w sifat kasih terhadap orang susah dan menderita terutama anak yatim piatu.Sebagaimana sekarang kita dapat dapat bezakan antara yang menjadi ahli koprat kerana dilahirkan dalam keluarga koprat berbeza dengan mereka yang menjadi ahli koprat hasil usahanya sendiri. Tanggapan orang ramai mengenai kedua-dua mereka adalah berbeza walaupun kedua-duanya merupakan ahli koprat dan mereka yang lahir menjadi ahli koprat hasil daripada usahanya sendiri biasanya lebih matang kerana pernah menghadapi cabaran dan jatuh bangunnya perniagaan sebelum lahir sebagai ahli koprat. Ingatlah bahawa perjuangan untuk meninggikan kalimah La ila ha illallah bukannya dihamparkan dengan permaidani merah tetapi dibentangkan dengan onak dan duri di sepanjang perjalanan menuju matlamatnya yang suci.
Kehidupan baginda s.a.w juga tidak dihiasi dengan warisan kekayaan keluarga sebaliknya dipenuhi dengan kemiskinan sehingga jika kita membaca kitab sirah nabawiyyah ada menceritakan bagaimana keluarga ibu susunya Halimatus Sa’diyah hanya bersetuju untuk menjaga baginda s.a.w setelah mereka tidak mendapati kanak-kanak selain baginda s.a.w untuk diasuh. Ini adalah bertujuan untuk mendidik baginda s.a.w dengan erti kesusahan dan juga bagi mengelakkan kekayaan itu menjadi fitnah kepada tujuan mereka yang memeluk Islam selepas kenabian nanti. Ia juga mengingatkan bagaimana sebagai pendakwah Islam yang tulen kita mesti meneruskan usaha dalam memastikan bendera La ilaha illaLlah akan berkibar megah samada ketika senang atau pun susah. Kewangan bukanlah penghalang yang besar kepada kerja dakwah sebaliknya ia hanya sekadar bantuan sahaja dalam melancarkan tugas-tugas kita sebagai pendakwah.